Titian Zaman di Dewan Filharmonik Petronas
May 14, 2008
Semalam aku berpeluang melihat persembahan Titian Zaman oleh Kumpulan Seni Persembahan PETRONAS di Dewan Filharmonik. Terima kasih pada Anis dari Astro kerana sudi menjemput kami menonton. Pertama kali menjejakkan kaki ke Dewan Filharmoni (DFP) membuat aku teruja dan peluang duduk di level VIP memang menarik. Tetapai tempat duduk aku di belah tepi belakang dan pandangan agak terbatas jadi buatkan aku cemburu dengan tempat duduk biasa di bawah. Ahh…pandangan marhain lebih baik :). Oh ya..sama menonton malam tadi adalah bekas PM kita Tun Mahathir dan isteri.
Segmen pertama adalah dramatari Semerah Padi dan segmen kedua adalah Laman Kreasi dimana himpunan pelbagai jenis tarian dipersembahkan. Pembukaan Semerah Padi agak menarik dan cara pengarah menegluarkan penari tambahan dari dalam pembanting padi cukup menarik. Cara gerak penari, susunan keluar masuk dan dari satu segmen ke satu segmen ditangai dengan baik oleh pengarahnya, Roslee Mansur yang pernah berlakon dalam Muzika Uda & Dara, Keris Sang Puteri dan Payung Mahkota.
A Sam Palal dengan bantuan Rozilah Abdul Rahman telah melahirkan koreografi yang cantik dan menarik. Mohd Nordin Abdolatip sebagai Aduka telah memberikan persembahan yang baik. Watak Dara yang dipegang oleh Feeza Nuraisyah Hamid turut dapat membawakannya dengan baik ditambah dengan keayuannya, pemilihannya memang sesuai untuk bandingan dengan Saadiah dalam filem Semerah Padi. Yuzaidi Mohd Yusof sebagai Teruna melengkapkan lagi dramatari ini. Pada mulanya aku kurang berpuashati dengan Aduka yang tak menunjukkan banyak reaksi ketika Teruna menhantar pingan pada Dara, namun bila masa berlalu ternyata penghayatannya baik.
Aku paling suka sewaktu babak di mana Jejaka dan Galak dihukum sula. Waktu itu alunan muzik nukilan Mohd Yazid Zakaria cukup menarik dan ada feel menggerunkan. Paling menatrik apabila kematian/kejahatan tampil dengan pakain serba hitam berlegar-legar disekitar tempat upacara hukuman. Langkahnya lincah dan tangkas. gerakan tarian mereka cukup mengujakan aku. Tak pasti siapa disebalik jubah hitam itu ternyata itulah babak yang paling terkesan dalam dramatari ini. Semasa Jejaka dan Galak bermesraan sebelum ditangkap oleh Aduka dan teruna, aku rasa Galak patut menunjukkan gerak yang lebih erotis untuk lebih meyakinkan. Walaupun geraknya agak erotis tapi bagi aku masih belum cukup. Mungkin kerana ia di persembahkan di DFP dan ramai penonton VIP. Mungkin. Roslee Mansur berjaya mempersembahkan Semerah Padi dengan baik dan gaya yang tersendiri. Tidak hairan lah beliau pernah menerima anugerah Pengarah, Pelakon, Persembahan dan teknik Terbaik dalam Pekan Teater Kebangsaan.
Segmen kedua kami disajikan dengan Laman Kreasi iaitu pelbagai tarian hasil kreativiti ahli-ahli KSPP sendiri. Ada 8 persembahan tarian dan aku paling sukakan Tari Seri Inai olahan koreografi oleh Zaizul Adli Mamat. Ia terhasil gabungan gerak tari Makyong dan Tari Inai dari Kelantan. Olahannya menarik dan agak kontemporari untuk sealiran dengan gaya baru. Muzik oleh Syed Shahrir Faizal cukup original dan menarik sekali. Pengalamannya sebagai pemuzik professional arus perdana amat berguna.
Tari Seri Damak telah berjaya membuatkan tangan dan kaki aku bergerak seiring irama lagu dan rentak. Cukup menarik. Sakti, tarian klasik India yang diberi sentuhan baru oleh Alia Nadira Ahmad Zubir cukup mengujakan. Yuzaifullah telah menggabungkan irama muzikal klasik India dan Goa untuk lebih menghidupkan persembahan. Akhirnya, Silat Tari Piring nukilan Rozilah Abdul Rahman cukup menarik bila terasa seperti ada gam di piring itu untuk melekat ditangan gadis2 manis itu. Selain itu seluruh persembahan ni memang menghiburkan dan cukup menarik di tonton. Persembahan ini akan berakhir malam ini 14 Mei 2008, 8.30 malam.
Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan ini berharga RM35, RM30, RM20 dan RM10 boleh ditempah melalui Box Office di talian 03- 2051 7007 atau faks 03- 2051 7077 atau email dfp_boxoffice[@[petronas[dot[com[dot]my. Datanglah beramai-ramai untuk menyaksikan keistimewaan pementasan ini di DFP. Ia bakal menjanjikan satu hiburan kesenian yang menarik dan sukar dilupakan.

Leave a Reply